Kehamilan Kesihatan Mental

Kenapa asyik rasa nak menangis masa hamil? Ini 3 sebabnya

Ibu happy menanti baby, tapi dalam masa yang sama mudah rasa sebak. Hormon, badan yang penat dan rasa risau boleh memainkan peranan. Jom kita tengok satu-satu.

Klinik Dr Twins

· 4 minit bacaan

Kenapa mudah menangis masa hamil? 3 sebab yang ibu perlu tahu — Klinik Dr Twins
Dalam artikel ini
  1. Ringkasan untuk ibu
  2. 1. Perubahan hormon
  3. 2. Perubahan fizikal
  4. 3. Rasa risau
  5. Apa yang boleh membantu?
  6. Bila perlu jumpa doktor?
  7. Soalan lazim
  8. Jaga emosi ibu juga
Poin penting untuk ibu
  • Hormon berubah. Mood ibu boleh jadi lebih sensitif.
  • Badan cepat penat. Kurang tidur dan loya boleh buat emosi lebih mudah terganggu.
  • Banyak yang dirisaukan. Fikir tentang bersalin dan menjaga baby pun boleh menambah tekanan.

Kalau rasa sedih atau risau berterusan dan mengganggu hari-hari ibu, bincang dengan doktor.

“Saya happy mengandung, tapi kenapa saya selalu rasa nak nangis?”

Ibu gembira dengan kehamilan ini. Pada masa yang sama, ada hari yang ibu rasa cepat sebak, mudah terasa atau risau tanpa henti.

Dua perasaan itu boleh hadir serentak. Ibu tak perlu rasa bersalah kerana mengalaminya.

Ada tiga perkara yang boleh mempengaruhi emosi ibu. Bila ibu faham perubahan ini, lebih mudah untuk kenal apa yang sedang dilalui. Cuma, jangan anggap rasa sedih yang berterusan itu semata-mata sebab hormon.

1. Hormon berubah, mood pun boleh ikut berubah

Masa hamil, badan ibu sedang melalui banyak perubahan. Hormon boleh mempengaruhi emosi, jadi ada waktu ibu rasa lebih sensitif daripada biasa.

Perubahan ini juga boleh datang bersama rasa letih dan loya. Bila semuanya berlaku serentak, memang ada hari yang terasa lebih mencabar.[1]

Cuba perhatikan apa yang ibu rasa. Adakah ia datang sekali-sekala, atau makin kerap sampai susah nak jalani rutin biasa? Perkara ini boleh ibu ceritakan pada doktor.

2. Badan penat, emosi pun mudah terasa

Tidur tak cukup. Badan cepat letih. Loya pula datang dan pergi.

Bila badan tak selesa, benda kecil pun boleh terasa lebih berat. Sebab itulah rehat dan keselesaan ibu juga perlu diberi perhatian.

Kalau boleh, ambil masa untuk berehat dan terima bantuan orang sekeliling. Contohnya, minta pasangan uruskan makan malam atau berkongsi kerja rumah supaya ibu ada ruang untuk berehat.[1]

Ibu tak perlu paksa diri buat semuanya seperti biasa pada hari yang badan memang tak larat.

3. Banyak benda bermain dalam fikiran

“Nanti bersalin sakit tak?”

“Boleh ke saya jaga baby nanti?”

Soalan macam ini boleh muncul, lebih-lebih lagi kalau banyak perkara masih baharu untuk ibu. Bila asyik difikirkan, rasa risau itu boleh menjadi tekanan.

Sedikit kebimbangan boleh berlaku masa hamil. Tapi kalau susah nak hentikan rasa risau, tidur terganggu atau urusan harian mula terjejas, elok bincang dengan doktor.[3]

Persediaan mental sama penting dengan persediaan fizikal masa mengandung.Klinik Dr Twins

Apa yang ibu boleh buat sekarang?

Tak perlu ubah semuanya sekali gus. Mulakan dengan perkara kecil yang sesuai dengan keadaan ibu.[2]

  • Cerita pada orang yang ibu percaya. Pasangan, keluarga atau kawan rapat boleh jadi tempat untuk meluahkan perasaan.
  • Minta bantuan yang jelas. Contohnya, “Hari ni saya penat. Boleh tolong uruskan makan malam?”
  • Tulis soalan yang bermain dalam fikiran. Bawa semasa temujanji supaya ibu boleh tanya doktor satu-satu.
  • Pertimbangkan kelas antenatal. Ibu boleh belajar tentang persediaan bersalin dan berjumpa ibu lain yang sedang melalui fasa sama.

Tak perlu tunggu sampai rasa terlalu berat baru nak minta sokongan.

Bila ibu patut jumpa doktor?

Kalau perasaan itu buat ibu risau, ibu boleh terus ceritakan pada doktor. Terutamanya jika ibu:[3][4]

  • Kerap rasa sedih atau menangis.
  • Dah tak berminat dengan perkara yang biasanya ibu suka.
  • Rasa putus asa atau asyik menyalahkan diri.
  • Terlalu risau sampai tidur atau rutin harian terganggu.

Kemurungan dan keresahan boleh berlaku semasa hamil. Doktor boleh bantu menilai keadaan ibu dan bincangkan sokongan yang sesuai.

Jika ibu rasa tidak selamat atau berisiko mencederakan diri, dapatkan bantuan kecemasan segera. Minta seseorang yang dipercayai menemani ibu.

Soalan yang ibu selalu tertanya-tanya

Menangis masa hamil tu normal ke?

Perubahan emosi boleh berlaku masa hamil. Tapi kalau ibu kerap sedih, rasa putus asa atau sukar jalani rutin biasa, jangan abaikan. Ceritakan pada doktor supaya keadaan ibu boleh dinilai.

Kalau saya happy mengandung, kenapa masih sedih?

Rasa gembira dan sedih boleh hadir pada masa yang sama. Perubahan hormon, badan yang penat dan kebimbangan tentang fasa baharu boleh mempengaruhi emosi ibu.

Apa yang pasangan boleh bantu?

Dengar dulu tanpa cepat menghakimi. Bantu urusan harian dan temankan ibu ke temujanji jika ibu mahu. Kalau perasaan itu berterusan atau semakin berat, galakkan ibu dapatkan bantuan doktor.

Jaga emosi ibu juga

Masa bersedia untuk sambut baby, beri perhatian pada perasaan ibu juga. Hormon, keletihan dan kebimbangan boleh mempengaruhi emosi, dan ibu tak perlu hadap semuanya seorang diri.

Mulakan dengan bercerita pada seseorang yang ibu percaya. Kalau ibu perlukan bantuan memahami apa yang sedang dirasa, buat temujanji untuk berbincang dengan doktor kami.

Nak lebih bersedia sebelum bersalin?

Bump, Birth and Beyond!

Dalam kelas antenatal ini, kita belajar tentang kesihatan mental, persediaan bersalin, tidur dan tangisan baby, nutrisi kehamilan serta praktikal penyusuan. Ibu boleh hubungi klinik untuk semak maklumat kelas dan pendaftaran.

21 November 2026 · 8.00 pagi – 2.30 petang
Twins Medicare Sdn Bhd, Briefing Room

Tanya tentang kelas
Rujukan bacaan

Untuk bacaan lanjut tentang emosi semasa hamil dan bila perlu mendapatkan bantuan:

  1. NHS — Tiredness and sleep problems in pregnancy
  2. NHS — Mental health in pregnancy
  3. NHS — Anxiety in pregnancy
  4. NHS — Depression in pregnancy

Perkongsian ini ialah maklumat umum dan tidak menggantikan penilaian perubatan individu.

Sedia untuk berjumpa kami?

Tempah temujanji — buka setiap hari 8.30AM hingga 10PM di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.

Tempah Temujanji →